Tuesday, November 10, 2009

Undur Sukarela Demi MCA - Utusan Malaysia Online

Posted by People's Unity Alliance of Malaysia

Undur sukarela demi MCA

DUA mesyuarat agung luar biasa (EGM) dalam tempoh dua bulan sudah cukup menggambarkan betapa seriusnya masalah dalaman yang sedang dihadapi oleh MCA.

Kemelut yang pada mulanya hanya berkisar kepada perbalahan antara Presiden, Datuk Seri Ong Kee Teat dan bekas timbalannya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek kini turut mengheret Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai secara tidak sengaja.

EGM pertama yang jelas menolak kepimpinan kedua-dua pemimpin tertinggi MCA itu cuba diredakan dengan pelan damai yang sebenarnya semakin mengeruhkan keadaan.

Tiong Lai yang sempat menjadi Timbalan Presiden MCA selama 19 hari sebelum jawatan itu dikembalikan semula kepada Soi Lek, menolak pelan damai itu kerana ia tidak melibatkan Jawatankuasa Pusat (CC) parti itu. Malah katanya, pelan damai itu juga tidak menghormati suara akar umbi dan keputusan yang dicapai semasa EGM 10 Oktober lalu.

Kemelut berterusan itu membawa kepada pemanggilan satu lagi EGM pada 28 November ini. Malangnya notis panggilan EGM itu juga dipertikaikan kerana didakwa tidak sah kerana melanggar peruntukan perlembagaan parti.

Memang jika diperhatikan konflik yang berlaku di dalam MCA ketika ini tidak ubah seperti pementasan opera China yang penuh drama dan berliku.

Namun ia sebenarnya berbalik kepada pendirian dua pemimpin utama MCA iaitu Tee Keat dan Soi Lek. Kedua-dua pemimpin kanan ini secara jelas tidak lagi mendapat mandat dan kepercayaan perwakilan seperti yang disuarakan pada EGM Oktober lalu.

Tee Keat menerima undi tidak percaya terhadap kepimpinannya manakala Soi Lek pula sekadar diterima menjadi ahli tetapi tidak dikembalikan jawatan nombor dua parti kepadanya.

Tidak dinafikan, secara perlembagaannya, tindakan Tee Keat untuk mempertahankan jawatan Presidennya selepas EGM itu tidak salah. Ini kerana ia tidak mematuhi Artikel 35 perlembagaan MCA yang memperuntukkan suara dua pertiga bagi memecat, memilih atau melantik seseorang.

Tetapi Tee Keat barangkali terlupa, dalam satu wawancara dengan sebuah akhbar berbahasa Inggeris, beliau antara lain menegaskan akan berundur sekiranya mendapat majoriti mudah.

Malangnya, selepas EGM itu, Tee Keat memberi alasan perlu mengekalkan kedudukannya kerana mempunyai banyak urusan yang perlu diselesaikan.

Bagi masyarakat Cina, keengganan Tee Keat mematuhi janji beliau untuk berundur dinilai sebagai tindakan yang tidak berprinsip dan gagal mengotakan janji.

Soi Lek pula yang menggemparkan negara kerana skandal video seks, kehilangan integriti dan kepercayaan sebagai seorang pemimpin di kalangan kebanyakan masyarakat Cina.

Persepsi di kalangan masyarakat Cina itu perlu diberi perhatian serius kerana mereka merupakan suara akar umbi yang bakal menentukan masa depan parti.

MCA perlu sedar keyakinan terhadap parti berusia 60 tahun itu di kalangan masyarakat Cina hari ini sangat kritikal. Selepas pilihan raya umum 2008, sokongan terhadap parti itu merudum kepada hanya 20 peratus berbanding 40 peratus sebelumnya, demikian dinilai oleh kebanyakan pemerhati politik.

Di kalangan generasi muda Cina serta mereka yang dibesarkan dalam persekitaran yang lebih urban, MCA dilihat gagal memenuhi kehendak kelompok masyarakat tersebut.

Dengan krisis dalaman yang tidak menunjukkan tanda-tanda akan berakhir ketika ini, maka mungkin hanya rakan-rakan dan saudara-mara pemimpin MCA sahaja yang menyokong parti itu pada masa depan.

Bagi pemerhati politik tempatan, Malike Brahim, tumpuan utama dalam konflik MCA itu bukannya untuk mencari siapa yang layak atau siapa yang benar sama ada dari sudut demokrasi atau perundangan negara.

Sebaliknya jelas Pensyarah Kanan, Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), semua pemimpin MCA perlu mempunyai kesedaran yang tinggi untuk bertanggungjawab terhadap parti itu.

Justeru, sebarang keputusan membabitkan masa depan parti itu perlu dikembalikan semula kepada akar umbi. Ia termasuk sama ada perlu diadakan semula pemilihan di dalam parti seperti yang akan diputuskan menerusi EGM pada 28 November ini.

Pentingnya konflik MCA ini dirungkaikan dengan segera bagi mengelak ia membawa kerugian yang besar bukan hanya kepada MCA tetapi turut memberi kesan kepada Barisan Nasional (BN).

Konflik yang berlarutan akan membawa kepada perpecahan yang besar di dalam MCA. Apa yang paling dibimbangi, bakal ada ahli MCA yang keluar parti dan menyertai parti lain terutamanya pembangkang.

Jika konflik ini membawa kepada perpecahan juga, penyokong dan pemimpin MCA akan berpecah kepada parti-parti baru. Ini akan merugikan BN dan MCA terutama dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Ini kerana masyarakat Cina mungkin sudah hilang keyakinan terhadap MCA yang dilihat lebih banyak berkonflik dan berebut kuasa berbanding usaha berkhidmat kepada rakyat.

Malike juga menjelaskan, kegagalan MCA berfungsi sebagai sebuah parti juga memungkinkan ROS membatalkan pendaftaran penubuhan parti itu.

Sekiranya ia berlaku, MCA tidak lagi boleh beroperasi sebagai satu pertubuhan atau parti politik.

Dalam masa yang sama, kedudukan wakil rakyat dalam Parlimen atau DUN berstatus tanpa parti kecuali atas tiket BN. Dengan demikian kedudukan ahli-ahli MCA dalam kerajaan atau Kabinet tidak terjamin, itu pun sekiranya mereka kekal sebagai ahli BN.

Perkara ini bukan sesuatu yang mustahil kerana ia pernah berlaku dalam konflik beberapa parti di Sarawak suatu ketika dahulu.

Lebih parah, jika konflik ini berlarutan hingga ke mahkamah, ia bukan sahaja membazirkan masa dan tenaga, tetapi melibatkan prosedur perundangan yang lebih ketat.

''Jika mahkamah telah membuat keputusan seperti mana ke atas UMNO suatu masa dulu, maka padahnya ditanggung sendiri oleh para pemimpin dan ahli MCA," ujar beliau.

Justeru tambah Malike, MCA harus mencari formula penyelesaian terbaik dalam menangani konflik yang sedang berlaku.

Tidak rugi katanya, jika diadakan pemilihan semula parti seperti sebelum ini bagi memberikan hak kepada ahli dan perwakilan parti membuat keputusan.

Paling tidak, pemimpin yang berkonflik perlu secara sukarela berundur sekiranya benar-benar berjuang atas semangat mempertahankan parti.

''Biar ahli dan perwakilan akan menentukan pemimpin yang baru untuk meniupkan nafas baru ke dalam MCA dan menentukan wadah perjuangan MCA dalam BN dan kerajaan," ujar Malike



Comment Form